Pengesanan Awal, Rawatan Sesuai Perlu Bagi Redakan Beban Endometriosis

Updated: Sep 9


A good write up by Dr. Celene Hui of KKH recently published in Berita Harian SG:

DR CELENE HUI

Sep 06, 2021 | 05:30 AM


ENDOMETRIOSIS merupakan sejenis masalah yang menjejas sekitar seorang daripada 10 wanita sepanjang tempoh mereka mampu melahirkan anak.

Dalam kalangan wanita yang menghidap endometriosis, sel-sel yang biasa ditemui dalam endometrium, tumbuh di luar rahim.


Luka endometriotik itu kemudian mungkin boleh menyebabkan radang, menjejas bahagian pelvis dan tumbuhnya sista endometriotik ovari.

Dalam kes yang lebih teruk, ia mungkin menjejas organ lain dalam tubuh termasuk pundi kencing, saluran yang membawa air kencing daripada buah pinggang kepada pundi kencing, dan usus.



SUKAR DIDIAGNOSIS


Wanita yang mengalami endometriosis mungkin mengalami pelbagai gejala yang tidak khusus, termasuk:


  • Datang haid yang menyakitkan

  • Sakit kronik pada pelvis

  • Lelah dan kurang bertenaga

  • Sakit semasa hubungan seks

  • Pergerakan usus yang menyakitkan

  • Sukar hamil

Gejala ini biasa disalahanggap dengan masalah lain seperti sindrom usus yang meragam atau penyakit radang pelvis, sehingga menyebabkan kelengahan merujuk kepada pakar sakit puan.


Secara purata, kajian menunjukkan bahawa wanita yang menghidap endometriosis, telah bertemu tujuh doktor sebelum diagnosis dibuat.


Faktor lain yang menyumbang kepada cabaran diagnostik yang rumit termasuk kurangnya kesedaran dalam kalangan orang ramai serta penyedia penjagaan kesihatan, dengan gejalanya tidak dipedulikan.


Stigma yang dikaitkan dengan datang haid mencegah sesetengah wanita daripada berbual tentang endometriosis sehingga menyebabkan kelengahan mendapatkan rawatan.

Menyukarkan lagi, masalah endometriosis ini ialah ketiadaan biopenanda yang mampu mendiagnosisnya.


Ia tidak seperti masalah perubatan lain seperti kencing manis, yang mudah didiagnosis dengan kadar glukosa dalam darah dan biopenanda yang dikenali sebagai Haemoglobin A1c.

Sedang beberapa jenis endometriosis seperti sista ovari endometriotik boleh dilihat menerusi imbasan ultrabunyi pelvis, jenis lain seperti luka endometriotik yang dalam sukar dilihat sehinggalah proses diagnosis pembedahan dilakukan.


Siasatan piawai terbaik untuk mendiagnosis endometriosis ialah menerusi pembedahan laparoskopik atau lubang halus pada organ pelvis, namun ini agak invasif dan mempunyai risiko pembedahan.


Akibatnya, terdapat kelengahan daripada mulanya gejala sehingga waktu diagnosis yang boleh mencecah tujuh hingga 10 tahun lamanya.


Tempoh yang lama ini kemudian menyebabkan penyakit ini terus berkembang, lantas mengakibatkan rasa sakit yang berpanjangan, menyukarkan kesuburan, memberi tekanan psikologi, selain menjejas hubungan peribadi, daya pengeluaran dan mutu hidup.


KEMUNGKINAN BERULANG


Sekitar seorang dalam setiap dua wanita yang menghidap endometriosis akan mengalami gejala yang berulang sepanjang tempoh lima tahun.


Saya sering menekankan kepada pesakit saya bahawa endometriosis merupakan masalah kronik yang tersembunyi yang boleh berulang dan menjadi lebih teruk secara senyap, namun terdapat rawatan perubatan jangka panjang yang boleh mengawal serta menahan penyakit itu daripada berlarutan.


Terapi perubatan mungkin memberi kesan dengan meredakan rasa sakit dalam sekitar 60 peratus wanita dan ini boleh melibatkan penggunaan perubatan bukan hormon seperti ubat hilang sakit, atau terapi hormon yang ada kaitan dengan kadar estrogen di mana endometriosis bergantung.


Rawatan hormon boleh dilakukan dalam bentuk pil bergabung atau dengan progesteron sahaja, alat intrauterin hormon, atau ubat yang digelar gonadotropin yang menghasilkan hormon (Gn-RH) agonis atau antagonis yang mampu mencetuskan keadaan menopaus.

Ubat baru kini sedang dikaji dan boleh meningkatkan pilihan perubatan terapeutik bagi endometriosis dalam jangka masa terdekat.


HALANGAN UNTUK HAMIL


Sekitar 30 peratus hingga 50 peratus wanita dengan masalah endometriosis mengalami cabaran untuk hamil.


Endometriosis boleh menjejas kesuburan wanita dalam beberapa cara:

  • Radang dan luka

  • Tiub Fallopia rosak

  • Implantasi embrio tidak sihat

  • Mutu telur tidak baik

  • Bekalan telur berkurangan atau baki telur berkurangan

Keputusan untuk menjalankan pembedahan dalam kalangan wanita yang menginginkan anak perlu dipertimbang secara berhati-hati.


Sasaran pembedahan ialah untuk mendiagnosis dan merawat endometriosis, mengembalikan anatomi kepada asal, memperbaiki kesuburan, dan mengurangkan rasa sakit.


Namun, usaha mengeluarkan sista ovari endometriotik meskipun dilakukan secara teliti oleh pakar bedah laparoskopik, boleh terus mengurangkan baki telur.


Peluang kegagalan ovari pramatang adalah sekitar 2.5 peratus menyusuli pembedahan bagi wanita dengan masalah sista endometriosis di kiri dan kanan, dan ini merupakan kesan teruk yang boleh menyebabkan wanita menjadi tidak subur.


Menyusuli kesan endometriosis ke atas kesuburan, wanita dengan masalah endometriosis mungkin memerlukan teknologi kehamilan bukan semula jadi seperti inseminasi intrauterin (IUI) atau fertilisasi in-vitro (IVF) untuk hamil.


MENDAPATKAN RAWATAN AWAL


Saya menggesa wanita yang mempunyai gejala endometriosis tampil awal, supaya rasa sakit mereka boleh diuruskan dengan lebih baik dan kesuburan mereka dapat dikekalkan dan dilindungi.


Senarai persoalan endometriosis secara dalam talian juga boleh diperoleh menerusi laman Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) di:

www.kkh.com.sg/endometriosis-questionnaire


Ia mungkin dapat menjadi panduan kepada wanita yang memutuskan sama ada mereka harus mendapatkan rawatan ataupun tidak.


Wanita yang menghidap endometriosis tidak perlu putus asa.


Terdapat rangkaian sejagat para saintis, doktor, pakar bedah dan mereka yang menyokong pesakit yang mengadakan kempen untuk memperbaiki pendidikan berdasarkan bukti, jagaan klinikal dan kajian dalam endometriosis, untuk memberi peluang kepada mereka yang mengalami penyakit ini.


Pengesanan awal, rawatan yang sesuai dan pencegahan komplikasi, penting dalam mengurangkan beban endometriosis sepanjang kehidupan seorang wanita.

  • Penulis konsultan di unit Pembedahan Invasif Minimal (MIS) Divisyen Perbidanan dan Sakit Puan KKH.

"Saya menggesa wanita yang mempunyai gejala endometriosis tampil awal, supaya rasa sakit mereka boleh diuruskan dengan lebih baik dan kesuburan mereka dapat dikekalkan dan dilindungi. Wanita yang menghidap endometriosis tidak perlu putus asa.Terdapat rangkaian sejagat para saintis, doktor, pakar bedah dan mereka yang menyokong pesakit yang mengadakan kempen untuk memperbaiki pendidikan berdasarkan bukti, jagaan klinikal dan kajian dalam endometriosis, untuk memberi peluang kepada mereka yang mengalami penyakit ini." - Dr Celene Hui, konsultan di unit Pembedahan Invasif Minimal (MIS) Divisyen Perbidanan dan Sakit Puan KKH.



You may also subscribe to Berita Harian and read the news virtually here:

https://www.beritaharian.sg/rencana/pengesanan-awal-rawatan-sesuai-perlu-bagi-redakan-beban-endometriosis


The English version of the write up is made available here:

https://www.todayonline.com/commentary/endometriosis-chronic-silent-condition-strains-womans-health-fertility-quality-life


We hope this information would help in providing explanation to your loved ones especially those with language barrier issues. Hang in there!